Tuesday, September 25, 2012

Abah

Dah sekian lama aku tak menconteng sesuatu di blog ni. Aku sudah ada blog baru. Tapi blog ni aku tak delete sebab aku sayang. Aku sudah pun pulang dari Melbourne. Atas sebab-sebab tertentu aku terpaksa memendekkan cuti tanpa gaji dan berada di sini. Berjauhan dari En. Hubby :(.

Bulan 11 aku akan mula masuk opis dan sementara itu aku akan berada di rumah. Bagi semua orang rumahku syurgaku bukan?. Begitu jugalah pada aku yang selama ini ternanti-nanti waktu cuti dan boleh bersama keluarga. Tapi sejak abah sakit, aku sebenarnya sangat takut pulang ke rumah. Aku takut dengan hati aku sendiri yang tidak tahan melihat penderitaan abah.


Dari kecik, semua orang kata aku anak abah. Aku memang ikut muke abah. Hidung, mata,bentuk muka, bibir cuma warna kulit aku agak cerah macam mak. Cara aku bercakap, cara aku sikat rambut sangat ikut abah. Abah seorang yang soft spoken. Seingat aku dari aku kecil, abah tak pernah marah aku. Yang selalu marah dan membebel cuma mak aku ( ya itu normal ). Aku dapat pangkat 3 masa SPM  ( sila percaya ), abah tak marah. Aku mengulang SPM dan STPM sebanyak 2 kali ( ya, juga sila percaya ). Abah juga tidak marah. Tapi aku tahu abah sangat kecewa. Bak kata orang dalam sesikat pisang ada satu yang buruk. Ya. Yang buruk itu aku. Sebab aku di lahirkan dalam kalangan adik beradik yang sangat bijak. Tatkala semua adik beradik aku cuma mendapat no 1- 5 dalam kelas or keseluruhan kelas, aku cuma dapat memberitahu aku dapat no 24 dalam kelas.*pensan*


Abah selalu cerita pada kami dan tunjukkan result examnya yang melayakkan dia untuk belajar di Universiti Al-Azhar. Tetapi kerana atuk dan nenek orang susah dan abah anak lelaki sulung, abah berkorban demi adik-adiknya. Maka ada antara pakcik aku yang berjaya masuk ke universiti. Oleh kerana cita-citanya tidak kesampaian, maka pada kami semua adik beradik di letakkan semua impiannya. Kami semua perlu masuk universiti. By hook or by crook. Ya. Setelah 2 kali mengambil SPM dan 2 kali juga mengulang STPM (menjadi pelajar terbaik ) aku akhirnya dapat masuk ke Universiti Malaya.


Dari kecik, abah didik kami menyukai buku. Setiap kali abah ingin keluar mencari barang, dia akan bawa kami semua dan meletakkan kami adik beradik di perpustakaan. Kami akan berada di situ sehingga segala urusannya selesai. Dan kami di benarkan mengirim apa saja yang kami nak. Selalunya aku akan mintak snack coklat dan air soya. Maka tinggallah kami adik beradik bersama buku-buku. Kalau di hujung minggu, abah juga rajin membawa kami ke library di opisnya. Aku ingat lagi buku-buku yang aku suka baca. Siri Enid Blyton, Nancy Drew, Ke Mana Sang Kancil, Kisah Dongeng Rakyat dan buku fevret aku tentunya Bunga Arianur karya Ahmad Petra Abdullah. Kalau tiba waktu cuti sekolah pulak, abah akan meminjam berkotak - kotak buku dari perpustakaan negeri. Aku ingat lagi masa tu aku darjah 4 dan buku fevret aku Romeo n Juliet, keh keh keh. 


Hasil dari kesungguhan abah, kami semua belajar di universiti dan mendapat pekerjaan yang baik. Alhamdulillah. Tanpa abah aku tak fikir aku akan berada di sini hari ni. Terima kasih abah, budi abah takkan dapat aku balas sampai aku mati. Aku ingat lagi, waktu aku mendapat tawaran ke Universiti Malaya, abah hadiahkan aku seutas jam tangan. Jam tangan itu masih elok hingga sekarang. Dan ia satu -satunya jam tangan yang aku ada. Aku tak pernah cuba membeli jam tangan yang lain sebab aku sangat sayangkan jam tangan tu. 


Sekarang abah terlantar sakit. Sampai sekarang aku masih tak boleh melihat mata abah. Aku tak tahan melihat bening sayu pada pandangan abah. Berada di rumah setiap hari berdepan dengan keadaan abah bukan sesuatu yang senang. Tiap hela hembus nafas aku berdoa untuk abah. Tidak ada sedetik waktu aku lupakan abah. Tiada apa yang lebih aku mahukan dari melihat abah sembuh. Aku yakin, setiap ujian yang di beri pasti ada hikmahnya. Ya Allah Ya Tuhanku..redhakanlah hati kami dengan segala ujianMu, agar kami dapat menjadi hambaMu yang bersyukur dan bahagia dalam apa jua keadaan. Kerana sesungguhnya hanya Engkau Yang Maha Mengetahui apa yang telah Kau aturkan untuk kami. Setiap yang berlaku pasti ada hikmahya...